2 anggota Tentera Darat terbunuh ketika latihan balingan grenad
KUALA LUMPUR – Markas Tentera Darat mengesahkan dua anggotanya terbunuh susulan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Divisyen Kedua Infantri Malaysia, di Kem Hobart, Gurun, pagi tadi.
Markas tersebut dalam satu kenyataan berkata, anggota yang terbunuh dikenal pasti sebagai Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
“Kedua-dua anggota kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Jenazah akan dihantar ke hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menjalani proses bedah siasat,” kata kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman menzahirkan rasa dukacita beliau di atas kehilangan dua warganya dan menyampaikan ucapan takziah buat kedua-dua keluarga mangsa dan mendoakan mereka bertabah dengan dugaan atas kehilangan orang tersayang.
“Beliau turut mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Tentera Darat memberi jaminan bahawa segala aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








