BERITA SEMASA

AMK Perlis kecam rakaman suara hina Raja Perlis

KANGAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis mengecam sekeras-kerasnya penyebaran rakaman suara yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Ketua AMK Perlis, Azzin Izzad Bahanudin berkata, sekiranya siasatan mendapati rakaman suara tersebut benar milik pemimpin berkenaan, ia jelas merupakan satu bentuk penderhakaan serius terhadap Institusi Diraja Perlis dan tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan.

“Perbuatan seperti ini tidak boleh dimaafkan dan tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi mengikut undang-undang negara. Institusi Diraja adalah lambang perpaduan, kestabilan dan identiti negeri serta negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azzin, sebarang bentuk penghinaan terhadap Tuanku Raja Perlis bukan sahaja mencemar maruah institusi beraja tetapi juga mengguris hati rakyat yang sentiasa menzahirkan kesetiaan kepada Raja dan negeri.

Beliau turut menyambut baik tindakan pantas pihak polis yang telah memulakan siasatan berhubung penularan rakaman tersebut dan berharap siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan.

“AMK Perlis juga mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan rakaman terbabit kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan serta mengganggu keharmonian masyarakat,” katanya lagi.

AMK Perlis akan terus berdiri teguh mempertahankan Institusi Diraja Perlis daripada sebarang usaha yang cuba menggugat kedaulatan dan kehormatan Tuanku.

“Tiada siapa boleh berdiri di atas undang-undang, apatah lagi dalam hal yang melibatkan kesetiaan kepada Raja dan negara.

“Kami menyeru rakyat Perlis agar kekal tenang dan menolak politik kebencian demi mengekalkan keharmonian negeri ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button