Aminuddin menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hampir 2 jam
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini pagi tadi.
Beliau sebelum itu dilihat memasuki pekarangan istana pada pukul 9.05 pagi sebelum keluar pukul 10.47 pagi.
Turut mengiringi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Kehadiran Aminuddin untuk menghadap Tuanku Muhriz pada setiap hari Rabu merupakan satu rutin sebelum beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) di Wisma Negeri.
Bagaimanapun, kehadiran beliau hari ini menarik perhatian pengamal media susulan dakwaan mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam masa terdekat.
“Biasa hari Rabu menghadap Tuanku,” katanya ringkas ketika keluar daripada Istana Hinggap.
Aminuddin dijangka akan mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO pada pukul 1.30 tengah hari.
Semalam, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Sikamat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar ketika desas desus timbul berkaitan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, mesyuarat berkenaan bertujuan membincangkan kesiapsiagaan jentera pilihan raya PH untuk PRN yang bakal menjelang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







