BERITA SEMASASUKAN

Alcaraz samai rekod Nadal, rangkul gelaran Grand Slam ke lima di Roland Garros

PARIS – Carlos Alcaraz menyifatkan kemenangan dramatiknya di final Terbuka Perancis sebagai satu ‘takdir’ selepas bangkit dari ketinggalan dua set untuk menewaskan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner sekaligus merangkul gelaran Grand Slam kelima dalam kariernya.

Pemain muda Sepanyol berusia 22 tahun itu, yang sering digelar pewaris takhta gelanggang tanah liat milik Rafael Nadal mencipta sejarah apabila menyamai pencapaian idolanya itu merangkul lima kejuaraan Grand Slam pada usia yang sama.

“Kebetulan menang Grand Slam kelima pada usia sama seperti Rafa, saya rasa itu adalah takdir,” kata Alcaraz yang menundukkan Sinner dalam final paling panjang dalam sejarah kejohanan Roland Garros era profesional.

Nadal ketika itu berusia sehari lebih muda apabila memenangi gelaran Grand Slam kelimanya selepas menewaskan Roger Federer dalam perlawanan epik di Wimbledon pada 2008.

“Statistik ini akan saya simpan selama-lamanya. Ia satu penghormatan besar buat saya menang Grand Slam kelima pada masa yang sama dengan Rafa, idola dan inspirasi saya,” katanya.

Dalam perlawanan penuh aksi mendebarkan, pertukaran momentum dan pukulan yang mengagumkan, Alcaraz menewaskan Sinner dengan keputusan 4-6, 6-7(4), 6-4, 7-6(3), 7-6(10-2) selepas bertarung selama lebih lima jam.

“Tanpa sokongan penonton-penonton Paris, mustahil untuk saya bangkit semula.

“Pada awal set ketiga, semuanya memihak kepadanya. Saya terpaksa padamkan semua fikiran negatif dan terus berjuang,” ujarnya.

Alcaraz turut menyelamatkan tiga mata kejuaraan dan menyifatkan detik penting ialah ketika beliau ketinggalan 5-6 dalam set penentuan dan hampir tewas.

“Mata kejuaraan itu bukanlah pukulan terbaik saya. Tapi ketika kedudukan 6-5 di set kelima, pada 15-30 atau 30-all itu antara momen paling jelas saya ingat. Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana saya dapat kembali menguasai permainan itu,” katanya.

Kemenangan tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Alcaraz dalam kelompok elit tenis dunia malah membangkitkan semula persaingan generasi baharu khususnya dengan Sinner yang kini memiliki tiga gelaran Grand Slam.

“Ini bukan titik perubahan. Saya yakin dia akan belajar daripada perlawanan ini dan akan kembali lebih kuat apabila kami bertemu lagi,” katanya mengenai pemain Itali berusia 23 tahun itu.

“Saya juga perlu belajar daripada perlawanan ini dan melihat bagaimana saya boleh memperbaiki permainan dan menyerang kelemahannya secara taktikal. Saya tak akan menang ke atasnya selama-lamanya. Itu jelas. Jadi saya kena terus belajar,” katanya.

Dengan trofi di tangan dan satu lagi sejarah tercipta, Alcaraz sudah pun menantikan pertemuan seterusnya menentang Sinner.

“Setiap kali kami bertemu, kami saling menaikkan tahap permainan ke tahap tertinggi. Ini pertemuan pertama kami dalam final Grand Slam, saya harap bukan yang terakhir,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button