BERITA SEMASA

Aktivis flotila ditahan: UMNO Selangor desak Wisma Putra guna segala saluran diplomasi, tuntut akses konsular pihak ketiga

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor menzahirkan rasa dukacita dan marah terhadap tindakan zalim rejim Israel yang telah memintas serta menahan kapal-kapal konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk yang membawa sukarelawan rakyat Malaysia.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO  Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pemintasan yang dilakukan di perairan antarabangsa jelas merupakan pelanggaran undang-undang laut dan hak asasi manusia.

Malah katanya, serangan terhadap misi kemanusiaan tidak bersenjata adalah bukti nyata sikap pengecut rejim Israel.

“UMNO Selangor mendesak Wisma Putra terus memantau keadaan dan menggunakan segala saluran diplomasi melalui rakan-rakan strategik seperti Mesir, Jordan, Turkiye, UAE dan Qatar bagi memastikan pembebasan segera.

“Kami juga menuntut akses konsular pihak ketiga untuk menjamin kebajikan rakyat Malaysia yang ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

megat zulkarnain
MEGAT ZULKARNAIN.

Dalam pada itu katanya, UMNO Selangor menyeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk bersatu menyokong usaha Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia demi menyelamatkan rakyat Malaysia.

Katanya, isu tersebut bukan ruang untuk polemik politik dalaman, sebaliknya medan untuk menzahirkan kesepaduan umat dan bangsa Malaysia.

“UMNO Selangor menegaskan pendirian teguh bersama perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bersuara di setiap ruang agar dunia tidak menutup mata terhadap kezaliman Israel. Keberanian sukarelawan Malaysia menyertai flotila ini adalah lambang solidariti bangsa kita terhadap kebebasan Palestin.

“UMNO Selangor sekali lagi menuntut pembebasan segera semua sukarelawan termasuk rakyat Malaysia, serta menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas terhadap Israel,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button