SUKAN

Akademi Sepak Takraw Malaysia dirasmikan, RM1 juta diperuntuk untuk Piala Dunia

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi penganjuran Piala Dunia sepak takraw, selaras usaha memperkukuh pembangunan sukan tersebut di peringkat antarabangsa.

Menterinya, Dr Mohamad Taufiq Johari berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM825,000 bagi menyokong pelbagai program termasuk padanan sukan, sekali gus memperkasa ekosistem sukan berprestasi tinggi negara.

Menurutnya, penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia yang dirasmikan hari ini merupakan langkah strategik dalam melahirkan bakat baharu serta memperkukuh pembangunan sukan itu secara menyeluruh.

“Program hari ini berjalan lancar dan kita melihat potensi besar sepak takraw untuk terus berkembang. Akademi ini penting dalam memastikan pembangunan sukan ini lebih tersusun,” katanya dalam sidang media selepas majlis tersebut.

Tambah beliau, penglibatan institusi pendidikan dalam pembangunan sepak takraw kini semakin aktif dan menjadi platform penting untuk mencungkil bakat muda.

“Kerajaan akan terus memastikan sukan berprestasi tinggi seperti sepak takraw diberikan sokongan sewajarnya, termasuk aspek pembangunan atlet, pendidikan dan kebajikan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan sukan tradisional itu terus kekal relevan dan mampu bersaing di pentas dunia.

Majlis perasmian Akademi Sepak Takraw Malaysia itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan dalam industri sukan tanah air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button