AirAsia buka dua laluan baharu ke Pontianak, perluas rangkaian ke Indonesia
PONTIANAK – AirAsia Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah dengan rangkaian paling luas ke Indonesia menerusi pelancaran dua laluan baharu dari Kuala Lumpur dan Kuching ke Pontianak, ibu negeri Kalimantan Barat.
Dengan pelancaran itu, AirAsia menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan antarabangsa terus ke Pontianak dari kedua-dua bandar utama di Malaysia, sekali gus meningkatkan sambungan udara antara Malaysia dan wilayah Kalimantan Barat.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, pelancaran laluan baharu itu sejajar dengan permintaan tinggi perjalanan antara Malaysia dan Kalimantan Barat, khususnya bagi tujuan pelancongan, perniagaan dan rawatan perubatan.

“Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah dengan rangkaian antarabangsa terbesar ke Indonesia, kami berbangga dapat memperluaskan operasi ke Pontianak.
“Laluan ini bukan sahaja menawarkan tambang berpatutan, malah memberikan lebih fleksibiliti kepada tetamu kami dari Pontianak untuk terbang ke pelbagai destinasi lain melalui hab utama kami di Kuala Lumpur dan Kuching,” katanya dalam kenyataan.
Pelancaran dua laluan baharu itu juga menyokong sasaran pelancongan kedua-dua negara.
Malaysia menyasarkan kehadiran 4.3 juta pelancong dari Indonesia menjelang akhir tahun ini, manakala Sarawak menyasarkan lima juta plawat.
Indonesia pula menetapkan sasaran 16 juta pelancong antarabangsa, dengan Malaysia kekal sebagai salah satu pasaran utama.
Majlis pelancaran rasmi disempurnakan oleh Gabenor Kalimantan Barat, Drs. Ria Norsan sempena Sarawak Travel Fair anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di Pontianak.
“Laluan baharu ini memudahkan perjalanan dan membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan serta pelancongan.
“Kami bersedia menyambut lebih ramai pengunjung dari Malaysia serta menggalakkan pertukaran ekonomi dan sosial yang lebih kukuh antara kedua-dua negara,” kata beliau.
Dengan penambahan ini, rangkaian AirAsia ke Indonesia kini merangkumi 17 destinasi dengan 223 penerbangan mingguan, menjadikannya syarikat penerbangan paling aktif dalam menghubungkan kedua-dua negara.
Sempena pelancaran laluan baharu ini, AirAsia turut menawarkan tambang promosi bermula serendah RM149 dari Kuching dan RM159 dari Kuala Lumpur ke Pontianak termasuk semua caj.
Tempahan boleh dibuat mulai hari ini sehingga 3 Ogos 2025 bagi perjalanan antara 12 September 2025 hingga 28 Mac 2026 menerusi aplikasi AirAsia MOVE dan laman web airasia.com.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








