Agong, Raja Permaisuri zahir penghargaan sempena Hari Ibu
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada seluruh wanita yang bergelar ibu di negara ini.
Sultan Ibrahim bertitah, golongan ibu adalah guru pertama dalam kehidupan anak-anak selain menjadi pelindung dan pembentuk karakter manusia yang bakal mencorakkan masa depan bangsa.
“Seorang ibu memegang pelbagai peranan dalam membentuk jati diri manusia. Daripada mereka, kita belajar tentang nilai ihsan, ketabahan dan erti pengorbanan,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook.
Baginda turut mengingatkan rakyat bahawa berbakti kepada ibu sebagaimana dituntut agama merupakan kunci kepada keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong atas ketulusan serta dedikasi Baginda dalam membesarkan anakanda-anakanda dengan penuh kasih sayang.
Seri Paduka Baginda berdua juga menyeru rakyat untuk terus mendoakan kesejahteraan ibu-ibu yang telah meninggal dunia.
“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Almarhumah bonda, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Al-Fatihah,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








