Agenda Bumiputera MADANI lebih lantang, tegas – Anwar
KUALA LUMPUR – Agenda pemerkasaan Bumiputera di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI dilaksanakan secara lebih lantang, tegas dan berani sejak tiga tahun kebelakangan ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, pendekatan itu membuktikan kerajaan tidak pernah mengamalkan dasar elitisme sehingga meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang didakwa segelintir pihak.
“Dalam masa yang sama, kerajaan memberikan tempat secara automatik ke program matrikulasi kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A tanpa mengira kaum.
“Namun, kuota sedia ada untuk Bumiputera tetap dikekalkan dan kira-kira 90 peratus anak Bumiputera terus mendapat manfaat melalui program tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Anwar berkata, perbahasan mengenai dasar kerajaan perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada satu aspek sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Jangan dalam perbahasan hanya memilih satu aspek sahaja tanpa melihat keseluruhan dasar, sehingga mencetuskan persepsi seolah-olah wujud persaingan ‘zero-sum game’,” katanya lagi.
Tambah beliau, Kerajaan MADANI kekal komited memastikan agenda pembangunan Bumiputera terus diperkasa tanpa menjejaskan prinsip keadilan sosial serta kepentingan semua kaum.
“Pendekatan seimbang itu penting bagi memastikan kestabilan sosial dan ekonomi negara terus terpelihara dalam jangka panjang,,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








