[VIDEO] Tamim kekal bersemangat, minta al-Quran dalam lokap – peguam
SELAYANG – Aktivis Tamim Dahri dilaporkan berada dalam keadaan baik dan kekal bersemangat untuk meneruskan perjuangannya meskipun direman dua hari, malah sempat meminta senaskhah al-Quran untuk dibawa bersamanya ke lokap.
Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Aidil Khalid dalam sidang media selepas prosiding reman di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
“Sebenarnya sejak semalam lagi, sebelum dia dibawa masuk ke lokap, dia mesej saya.
“Dia beritahu lupa nak bawa Quran sebelum datang. Jadi sekali lagi dia minta kalau boleh uruskan untuk disampaikan senaskah Quran ke dalam sana dan kita dah uruskan.
“Itu yang pertama. Yang kedua, dia memang okey lah. Dia masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan,” kata Aidil.

Tamim bersama tiga rakannya sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan awal pagi semalam.
Menurut Aidil, pihak polis memohon reman selama empat hari, namun mahkamah hanya membenarkan tempoh dua hari bermula dari tarikh tangkapan.
“Tamim ditahan kira-kira pukul 10 pagi semalam. Ini bermakna sebelum pukul 10 pagi esok, beliau sepatutnya dibebaskan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan polis masih mempunyai kuasa untuk memohon lanjutan reman sebelum tempoh dua hari itu tamat.
@malaysiatribune Tamim Dahri masih bersemangat terus perjuangan, minta peguam bekalkan senaskah al-Quran #malaysiatribune #beritasemasa
“Kalau ada arahan untuk mohon, kami akan datang semula dan bantah lanjutan permohonan reman tersebut,” tegasnya.
Dalam prosiding berkenaan, pihak pembelaan turut mengemukakan beberapa dokumen bagi mencabar asas siasatan, termasuk bukti bahawa kerja pembersihan tanah dilakukan atas permintaan Yayasan Kubra sebagai pemilik tanah.
Menurut Aidil, yayasan tersebut telah mengeluarkan notis kepada pihak yang didakwa menceroboh tanah berkenaan serta membuat laporan polis sejak 2018, namun tiada tindakan diambil.
Yayasan itu juga didakwa telah berhubung dengan pihak berkuasa tempatan tetapi diminta menguruskan perkara tersebut sendiri.
Mahkamah bagaimanapun berpendapat siasatan masih berjalan dan membenarkan reman untuk tujuan siasatan lanjut.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff memaklumkan pihaknya akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan reman tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam masa terdekat.

Menurut beliau, walaupun reman hanya dua hari, pihak pembelaan berpandangan ia tidak sepatutnya diberikan kerana anak guam mereka telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan menyerahkan diri secara sukarela.
“Semua mereka telah menyerahkan diri kepada pihak polis dan tidak ada sebarang keterangan yang anak guam menentang ataupun melarikan diri.
“Ini adalah kerjasama penuh dan sepatutnya pihak polis boleh memberikan suatu jaminan dan tidak ada keperluan untuk mereka meneruskan penahanan reman anak guam kami,” katanya.
BACA JUGA:
‘Bersihkan’ struktur haram di tanah Yayasan Kubra, Tamim Dahri dan ustaz Ismail Mina dipanggil polis
Tamim kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat), Seksyen 504 (dengan sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan) dan Seksyen 295 (mencemarkan tempat ibadat).
Mengulas dakwaan bahawa tindakan Tamim bersifat ekstrem, peguam enggan mengulas panjang kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.
Namun katanya, tindakan tersebut dibuat bagi membantu pemilik tanah yang didakwa berdepan isu pencerobohan dan hak pemilikan tanah adalah dijamin di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut pihak pembelaan, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang individu yang mendakwa sebagai pemilik sebuah kuil di atas tanah berkenaan.
Setakat ini, mereka tidak mempunyai maklumat sama ada siasatan turut dijalankan terhadap dakwaan pencerobohan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















