Jamal Yunos gesa SPRM buka semula siasatan kes libatkan Teresa Kok
PUTRAJAYA – Datuk Seri Jamal Yunos hari ini tampil membuat laporan semula di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan yang pernah diadukannya pada 16 Februari 2017.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, beliau menyerahkan dokumen lengkap termasuk dokumen asal yang sebelum ini telah diberikan kepada SPRM Selangor untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, ketika laporan dibuat pada 2017, SPRM telah menjalankan serbuan di pejabat Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selain mengambil keterangan serta melaksanakan rampasan dan penggeledahan.
“Namun selepas Barisan Nasional tidak lagi menjadi kerajaan pada 2018, kes yang saya laporkan ini seolah-olah disenyapkan sehingga hari ini.
“Saya berharap dengan ketegasan dan tindakan agresif SPRM ketika ini dalam membanteras rasuah, pihak berkuasa tidak tertekan dengan mana-mana pihak serta tidak memilih kasih dalam melaksanakan undang-undang,” katanya dalam sidang media di perkarangan ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Jamal yang hadir bersama Ketua Pemuda UMNo Selangor, Datuk Imran Tamrin dan beberapa penyokongnya berkata, beliau sebagai pengadu tidak menerima sebarang maklum balas rasmi mengenai perkembangan siasatan kes tersebut.
“Susulan laporan itu juga beliau berdepan saman fitnah dan kes berkenaan masih dalam perbicaraan di mahkamah.
“Dokumen yang saya serahkan kepada SPRM pula telah dijadikan dokumen terhad oleh kerajaan negeri. Keadaan itu menyebabkan saya kalah dalam saman sivil tersebut,” katanya lagi.
Beliau berharap SPRM dapat meneliti semula siasatan yang dijalankan sebelum ini serta memberikan penjelasan berhubung status terkini kes berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















