Pegangan saham RM800,000 sudah diisytihar kepada JPA – Azam Baki
KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menjelaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan sudah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurut beliau, pemilikan saham itu dilakukan secara telus, mengikut prosedur dan tidak disembunyikan.
“Saya telah membuat pengisytiharan berhubung perkara ini termasuk sumber pendapatan saya melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Semuanya telus,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Azam berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menggesa beliau memberi penjelasan terperinci berkaitan dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan sebuah portal berita antarabangsa, Bloomberg yang mendedahkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat senaraian awam, Velocity Capital Partners Berhad.
Berdasarkan harga hari ini, kesemua saham tersebut dianggarkan bernilai RM800,000.
Azam berkata, saham itu dibeli pada tahun lalu dan telah dilupuskan dalam tahun sama.
Tegasnya, laporan oleh portal berita berkenaan adalah berniat jahat dan mengelirukan.
Sehubungan itu, beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kerana didakwa bersifat fitnah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pemilikan saham tersebut oleh seorang pegawai tinggi penjawat awam secara terang-terangan melanggar peraturan kerajaan.
“Memandangkan ia berkait rapat dengan kewibawaan SPRM sebagai institusi yang diberi amanah mencegah rasuah, saya percaya kontroversi ini akan mendapat perhatian rakyat dan masyarakat antarabangsa.
“Ini telah melanggar peraturan yang mengikat penjawat awam terutamanya yang terkandung di dalam Pekeliling Perkhimatan Bilangan 3 Tahun 2002, secara khusus menyatakan bahawa seorang penjawat awam tidak boleh memiliki saham bernilai lebih RM100,000 dalam mana-mana syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Rafizi, satu siasatan menyeluruh perlu diadakan segera melibatkan urus niaga beberapa syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mengambil tindakan segera termasuk menggantung tugas beliau dengan serta merta, menyemak keseluruhan pemilikan harta beliau dan memastikan sama ada beliau terbabit secara langsung atau tidak di dalam apa-apa urusniaga melibatkan MMAG Berhad dan NexG Berhad,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






