LUAR NEGARA

Tentera AS dakwa tembak jatuh dron Iran di Laut Arab

WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) mendakwa telah menembak jatuh sebuah dron milik Iran yang menghampiri sebuah kapal induk AS di Laut Arab, ketika usaha kuasa-kuasa serantau untuk meredakan ketegangan antara Washington dan Tehran masih berjalan.

Dalam satu kenyataan semalam, jurucakap Pemerintah Pusat AS (CENTCOM), Tim Hawkins berkata, sebuah jet pejuang AS yang beroperasi dari kapal induk USS Abraham Lincoln menembak jatuh dron berkenaan atas alasan mempertahankan diri serta bagi melindungi keselamatan kapal induk dan anggota di atasnya, lapor Al Jazeera.

Menurut CENTCOM, dron jenis Shahed-139 itu ditembak jatuh oleh sebuah pesawat pejuang F-35C ketika USS Abraham Lincoln berada kira-kira 800 kilometer dari pantai selatan Iran.

CENTCOM mendakwa dron tersebut ‘menghampiri secara agresif’ dengan ‘niat yang tidak jelas’ dan terus terbang ke arah kapal induk.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, memetik sumber tidak dinamakan yang mengetahui kejadian itu melaporkan bahawa komunikasi dengan sebuah dron di perairan antarabangsa telah terputus selepas ia ‘berjaya’ menghantar data kembali kepada Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Tasnim berkata, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca terputusnya komunikasi berkenaan.

Insiden itu berlaku ketika ketegangan antara Tehran dan Washington dilihat semakin reda susulan ancaman berulang Presiden AS, Donald Trump, untuk menyerang Iran berhubung tindakan keras kerajaan terhadap protes anti-kerajaan baru-baru ini.

Trump yang mendesak Iran supaya bersetuju mengadakan rundingan berkaitan program nuklear negara itu telah mengarahkan USS Abraham Lincoln berlayar ke perairan berhampiran Iran minggu lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya konfrontasi ketenteraan.

Namun, di sebalik ketegangan tersebut, usaha diplomatik masih diteruskan apabila Presiden Iran, Masoud Pezeshkian semalam berkata beliau telah mengarahkan menteri luar negaranya untuk meneruskan rundingan secara adil dan saksama.

“Saya telah mengarahkan Menteri Luar Negeri saya dengan syarat wujud persekitaran yang sesuai, bebas daripada ancaman dan jangkaan yang tidak munasabah untuk meneruskan rundingan yang adil dan saksama berpandukan prinsip maruah, kebijaksanaan dan maslahat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button