Tentera AS pindah sistem pertahanan udara Korea Selatan ke Asia Barat
SEOUL – Tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mula memindahkan sistem pertahanan udara THAAD dan Patriot yang ditempatkan di Korea Selatan untuk dihantar ke Asia Barat.
Menurut agensi Yonhap, tindakan itu menimbulkan kebimbangan kerana ia dianggap menjejaskan keupayaan Seoul menangkis ancaman daripada Korea Utara.
Ketika perang antara AS dan sekutunya Israel dengan Iran memasuki minggu kedua, Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung memaklumkan kepada Kabinetnya bahawa tentera AS di Korea (USFK) mungkin menghantar beberapa sistem pertahanan udara ke luar Semenanjung Korea selaras dengan keperluan ketenteraan mereka.
“Bergantung kepada keadaan… USFK mungkin menghantar beberapa sistem pertahanan udara ke luar negara mengikut keperluan ketenteraan mereka sendiri.
“Walaupun kita telah menyatakan bantahan, realitinya kita tidak dapat mempertahankan pendirian tersebut,” kata Jae-myung dalam mesyuarat tersebut, hari ini.
Pemindahan aset ketenteraan USFK terutamanya sistem pertahanan udara itu timbul di tengah laporan bahawa Washington berdepan kekurangan stok peluru berpandu pemintas selepas Iran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu balistik dan dron.
Memetik kenyataan pegawai AS, laporan The Washington Post semalam berkata, Pentagon sedang “memindahkan sebahagian sistem THAAD dari Korea Selatan ke Asia Barat.”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















