Komander AS dakwa perang dengan Iran penuhi ramalan kemunculan Nabi Isa AS, cetus Armageddon
WASHINGTON – Komander daripada setiap cabang angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa memberitahu unit masing-masing bahawa perang dengan Iran adalah bagi memenuhi ramalan mengenai kemunculan Nabi Isa AS dan permulaan Armageddon (Hari Kiamat).
Dakwaan itu didedahkan Military Religious Freedom Foundation (MRFF), sebuah organisasi yang melawan ekstremisme agama dalam tentera Amerika Syarikat selama dua dekad, lapor portal Military.com
MRFF berkata, pihaknya telah menerima lebih 200 aduan baharu mengenai isu berkenaan sejak tentera AS dan sekutunya Israel melancarkan serangan Sabtu lalu.
Aduan yang diterima MRFF, yang pertama kali dilaporkan oleh wartawan Jonathan Larsen, datang daripada lebih 40 unit dan melibatkan sekurang-kurangnya 30 pangkalan tentera.
Menurut MRFF, seorang komander unit tempur memberitahu pegawai tidak bertauliah (NCO) dalam satu taklimat, Isnin lepas bahawa serangan ke atas Iran itu adalah sebahagian daripada “rancangan” Tuhan manakala Presiden AS, Donald Trump, “diberkati oleh Jesus untuk menyalakan api isyarat di Iran bagi mencetuskan Kiamat dan menandakan kepulangannya ke Bumi”.
Seorang NCO AS yang menulis kepada MRFF berkata, komander mereka menyatakan bahawa perang dengan Iran adalah “sebahagian daripada pelan Tuhan”.
Komander itu berulang kali merujuk kepada Bible serta Armageddon, kisah tentang pertempuran antara kebaikan dan kejahatan, di mana Jesus menang dan mewujudkan keamanan berkekalan di Bumi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








