BERITA SEMASA

Pemuda maut dipercayai keluar dari kereta dipandu teman wanita

NILAI – Seorang pemuda maut selepas dipercayai keluar secara tiba-tiba dari sebuah kereta yang sedang bergerak di Jalan Seremban–Nilai, berhampiran Taman Kirby, Batu 9, Labu, di sini, petang kelmarin.

Mangsa berusia awal 20-an itu dilaporkan tidak sedarkan diri selepas kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.35 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.37 pagi semalam daripada seorang wanita tempatan berusia 20-an.

Menurutnya, wanita berkenaan memaklumkan rakannya, seorang lelaki tempatan berusia 20-an, dipercayai keluar dari sebuah kereta yang dipandunya ketika kenderaan itu sedang bergerak.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang kelmarin ketika kereta tersebut dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Nilai.

“Difahamkan, sebelum kejadian berlaku, terdapat perbincangan antara mangsa dan pemandu kenderaan sebelum mangsa dipercayai bertindak keluar dari kereta secara tiba-tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johari berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan lutut serta tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke HTJ Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 12.35 tengah hari semalam,” katanya lagi.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button