Tidak peduli usia, kuil haram akan tetap diroboh 9 Februari – Pemilik tanah
DENGKIL – “Roboh, itu yang kami setuju dengan Ketua Polis Daerah Sepang.”
Demikian tegas pesara swasta, Suhaili Ahmad, 70, mengenai rancangan untuk merobohkan kuil haram di atas tanah miliknya di Jalan Selangor Dredging, Taman Topaz, di sini hari ini.
Menurutnya perancangan yang akan dilaksanakan pada 9 Februari itu tetap diteruskan meskipun ada pihak mendakwa kuil tersebut telah berusia 60 tahun.

“60 tahun itu tempat lombong bijih timah agaknya. Bagi saya kalau 1,000 tahun pun (usia kuil itu), saya tak peduli. Itu tanah saya.
“Masa saya beli dulu, kalau ada kuil macam itu, bagi percuma pun saya tidak mahu. Apatah lagi saya nak bayar lebih RM200,000,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.
Malah, Suhaili turut menafikan kewujudan kuil tersebut ketika dia membeli tanah berkenaan.
“Saya beli pada tahun 2001. Kalau datang ke sana, mereka lagi tahu batu sempadannya.
“Nilai RM200,000 pada tahun 2001 sangat tinggi,” tegas beliau.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook hari ini yang mendakwa pihak jawatankuasa kuil Dengkil itu akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan situasi sebenar.
Melalui status tersebut, peguam dikenali sebagai Arun Dorasamy mendakwa, kuil itu telah wujud lebih daripada enam dekad.
“Pelbagai dakwaan tidak berasas melabelkan kuil ini sebagai ‘tidak berdaftar’ dan ‘kuil haram’ kembali dimainkan, sekali lagi menghidupkan semula naratif lama yang berbahaya, berbaur prejudis dan mencabar hak penganut agama Hindu di Malaysia,” tulisnya.
Dalam pada itu, Suhaili menyifatkan dakwaan tersebut sebagai merepek dan tidak berasas.
Tegas beliau, tempoh masa yang munasabah telah diberikan kepada pengurusan kuil untuk mengosongkan tanah itu sehingga 5 Februari.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk membayar pampasan kepada pihak pengurusan kuil, Suhaili enggan berbuat demikian.
“Saya nak bagi pampasan? Tolong sikit. Duduk atas tanah saya 25 tahun, elektrik pun percuma,” katanya.
Sebelum ini, Suhaili memberitahu, pihak polis termasuk IPD Sepang telah dimaklumkan mengenai tarikh perobohan kuil itu pada 9 Februari depan.
“Pihak polis akan datang juga tetapi hanya memantau sebab mereka pun tahu tarikh untuk pengosongan telah diberikan kepada pihak penceroboh,” katanya.
Untuk rekod, tanah tersebut telah dipindah hak milik kepada Suhaili secara rasmi pada tarikh 21 Februari 2001 selepas dibeli daripada pemilik asalnya, Abdul Hamid Maani.
Sebelum itu, tanah tersebut dimiliki oleh Abdul Hamid sejak 2 Februari 1991.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








