Tuan tanah tegas roboh kuil haram 9 Februari, polis pantau keadaan
DENGKIL – Seorang pemilik tanah persendirian di Jalan Selangor Dredging, di sini, bertegas akan meneruskan tindakan merobohkan sebuah kuil yang didakwa dibina secara haram di atas tanah miliknya pada 9 Februari depan selepas semua proses rundingan dan tempoh pengosongan diberikan kepada pihak penceroboh.
Suhaili Ahmad, 70, berkata, pihak terbabit tidak lagi mempunyai alasan untuk terus berada di atas tanah tersebut kerana notis dan tempoh masa mencukupi telah diberikan, selain rundingan yang dibuat turut disaksikan oleh pihak polis.

“Mereka nak cakap apa lagi? Itu tanah saya, hak saya. Sejak membelinya pada tahun 2001, saya tak pernah gagal bayar cukai.
“Mereka sudah diberi tempoh masa untuk kosongkan tapak. Rundingan telah dibuat disaksikan oleh pihak polis. Tidak ada alasan lagi.
“9 Februari akan saya robohkan kuil di Jalan Selangor Dredging. Tiada siapa boleh halang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.
Isu pencerobohan tanah milik Suhaili sebelum ini menarik perhatian ramai selepas beliau memuat naik gambar kewujudan kuil yang didakwa dibina secara haram di atas tanah yang telah dimilikinya sejak lebih 20 tahun lalu.
Difahamkan, kerja perobohan yang dijadualkan pada 9 Januari lalu telah ditangguhkan selepas Suhaili memberi tempoh lanjutan sehingga 5 Februari kepada pihak penceroboh untuk mengosongkan kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, menurut beliau, sehingga kini tiada sebarang perubahan berlaku di lokasi terbabit dan keadaan tapak berkenaan masih kekal seperti sebelumnya.
Menurut Suhaili, kewujudan struktur haram itu turut menyebabkan beliau gagal menjual tanah tersebut apabila pembeli menarik diri selepas mengetahui kewujudan binaan berkenaan.
“(Pembeli) tak jadi beli sebab ada kuil atas tanah itu. Tetapi dia benarkan saya simpan deposit yang telah dibayar sebelum ini.
“Mana-mana pihak yang mahu membantu dalam kerja-kerja perobohan ini saya sangat alu-alukan dan boleh menghubungi saya secara terus.
“Pihak polis akan datang juga tetapi hanya memantau sebab mereka pun tahu tarikh untuk pengosongan telah diberikan kepada pihak penceroboh,” tambahnya.

Difahamkan, pihak Polis Diraja Malaysia termasuk IPD Sepang telah dimaklumkan mengenai tarikh perobohan dan akan melakukan pemantauan keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini atau kekecohan.
Dalam pada itu, Suhaili memaklumkan bahawa rundingan di peringkat jawatankuasa pengurusan pihak penceroboh sebelum ini tidak mencapai kata sepakat, apabila terdapat perbezaan pandangan sama ada struktur berkenaan perlu dirobohkan atau dikekalkan.
Tambahnya, tiada wakil pihak penceroboh tampil mengadakan pertemuan rasmi dengan beliau bagi menyelesaikan isu pembelian atau pemindahan tapak, walaupun terdapat dakwaan lisan menyatakan hasrat untuk membeli tanah tersebut.

“Mereka cakap nak beli, tapi sampai sekarang tak ada orang pun datang jumpa saya.
“Ada pula pihak suruh pagar, tapi saya rasa tak ada keperluan kerana bukan ada tanaman di sana.
“Kalau nak datang bawa lembu atau kambing, silakan. Makanlah rumput di sana,” katanya.
Untuk rekod, tanah tersebut telah dipindah hak milik kepada Suhaili secara rasmi pada tarikh 21 Februari 2001 selepas dibeli daripada pemilik asalnya, Abdul Hamid Maani.
Sebelum itu, tanah tersebut dimiliki oleh Abdul Hamid sejak 2 Februari 1991.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








