Jangan takut dengan kajian – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang takut dengan kajian yang akan dilakukan.
Hannah menegaskan, kajian terhadap sesuatu perkara atau isu penting bagi mendapatkan fakta dan data yang tepat.
“Kenapa takut dengan kajian?
Pendidikan tinggi mengajar kita meneliti dan memahami isu serta membuat kajian yang mendalam, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.
“Jika kita mahukan keputusan yang tepat dan meyakinkan, kita perlukan data dan fakta yang tepat. Sebab itulah saya sangat menghargai setiap proses pembelajaran bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang saya.
“Di situlah saya belajar memahami kekuatan dan kelemahan sesuatu polisi,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Semalam media melaporkan Hannah mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Dalam satu temu bual bersama China Press, Hannah berkata, pilihan raya sedemikian dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.
Dalam pada itu mengulas lanjut, katanya, perbandingan baik dan buruk setiap keputusan membolehkan pihaknya membuat keputusan dengan cermat, menjimatkan masa dan tenaga daripada melakukan kerja yang tidak membawa manfaat serta mengelakkan kesilapan.
“Kajian akan membuatkan kita lebih bijak. Kajian juga satu proses mendapatkan keputusan yang lebih baik. Oleh itu, jangan sesekali takut dengan kajian.
“Malah kebijaksanaan adalah elemen penting sebagai pemimpin yang bertanggungjawab memimpin rakyatnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








