Berita Semasa

Acryl Sani dilantik Pengerusi PUNB

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani diumumkan sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan penyandang sebelum ini iaitu Datuk Ahmad Nazlan Idris yang melepaskan jawatan itu pada 20 Disember tahun lalu.

Acryl Sani adalah bekas Ketua Polis Negara ke-13 bermula 4 Mei 2021 hingga 22 Jun 2023.

Ketika ini, beliau juga adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Timbalan Pengerusi Dagang NeXchange Bhd.

Ketika berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau pernah memegang pelbagai jawatan seperti Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2018-2020) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (2017), selain pernah menjadi Ketua Polis Negeri Perak pada 2013 serta Pesuruhjaya Polis Sarawak (2011-2013).

Beliau memiliki Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, berkata, Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga kerja PUNB merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Acryl Sani dan mengalu-alukan kehadiran beliau di PUNB.

“Kami yakin dapat bekerjasama rapat dengan Tan Sri Acryl dan memanfaatkan pengalaman luas serta pandangan strategik beliau dalam pembangunan usahawan Bumiputera di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

PUNB diwujudkan untuk meningkatkan penyertaan dan pembabitan Bumiputera dalam bidang keusahawanan serta melahirkan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera (MPPB) yang dinamik, berdaya tahan, progresif serta berjaya.

Ditubuhkan pada 17 Julai 1991 di bawah Akta Syarikat 1965, PUNB adalah syarikat milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

PUNB beroperasi sebagai sebuah syarikat patuh Syariah sepenuhnya sejak 2010. Bermula Oktober 2018, PUNB diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.

Show More

Related Articles

Back to top button