BERITA SEMASAPOLITIK

PAS bantah penganjuran serentak Water Musical Festival dan Sambutan Hari Pekerja Pelancongan di Bukit Bintang

KUALA LUMPUR – PAS membantah Sambutan Hari Pekerja Pelancongan yang akan diadakan bersama program Water Musical Festival di Bukit Bintang Water Musical Festival di Bukit Bintang selama tiga hari bermula 1 Mei ini sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam, Mohamed Sukri Omar menegaskan bantahan itu bukan bertujuan menolak usaha kerajaan memperkukuh sektor pelancongan negara, sebaliknya menzahirkan kebimbangan terhadap pemilihan lokasi dan bentuk penganjuran festival berkenaan di kawasan tumpuan awam.

Mohamed Sukri yang juga Ketua Pemuda PAS Selangor berkata, Bukit Bintang merupakan pusat perniagaan dan pergerakan awam yang kritikal, digunakan setiap hari oleh ribuan pekerja, peniaga, penduduk setempat serta pengguna pengangkutan awam.

“Penutupan jalan selama tiga hari di kawasan ini akan memberi impak besar kepada mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, keselamatan awam serta keselesaan orang ramai, termasuk pelancong keluarga dan warga emas,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohamed Sukri turut menyuarakan kebimbangan terhadap konsep festival air terbuka dan hiburan jalanan berskala besar yang melibatkan percampuran bebas serta suasana pesta awam.

Justeru itu, tegasnya, festival berkenaan perlu dinilai secara lebih teliti dari sudut nilai, adab dan sensitiviti budaya tempatan.

Tambahnya, penganjuran acara sedemikian di kawasan sesak juga mendedahkan risiko keselamatan, kesihatan awam dan cabaran penguatkuasaan termasuk kesesakan melampau, kecederaan, vandalisme, pencemaran serta potensi gangguan moral.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri menegaskan bantahan tersebut tidak bercanggah dengan matlamat Visit Malaysia 2026, malah selari dengan usaha menonjolkan identiti budaya, warisan dan perayaan utama negara seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Gawai dan Tadau Kaamatan.

“Pemilihan acara utama mestilah mencerminkan jati diri Malaysia, bukan sekadar meniru model pesta jalanan luar negara yang tidak semestinya sesuai dengan konteks tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kerajaan Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menilai semula penganjuran festival berkenaan dari sudut lokasi, skala dan bentuk acara.

“Saya menggesa pihak Kementerian Pelancongan, Kerajaan Persekutuan dan DBKL supaya mengadakan sesi libat urus bersama penduduk, peniaga serta pihak berkepentingan setempat.

“MOTAC sepatutnya mengutamakan acara pelancongan berunsur budaya, kekeluargaan dan komuniti yang selari dengan nilai masyarakat serta imej Malaysia di peringkat antarabangsa,” tegasnya lagi.

Mohamed Sukri berkata, kekuatan utama Malaysia sebagai destinasi pelancongan terletak pada budaya, adab, warisan dan identiti ketimuran, bukannya hiburan bebas atau pesta jalanan semata-mata.

Menurutnya, negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, Maghribi dan Turki berjaya menarik pelancong dunia tanpa mengorbankan identiti masing-masing, sebaliknya menjadikan nilai dan warisan sebagai tarikan utama.

“Mempertahankan budaya dan identiti tempatan bukan penghalang kemajuan, malah asas kepada pelancongan yang bermaruah, lestari dan dihormati dunia,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button