MOTAC perketat pematuhan SOP acara selepas teguran PM
KUALA LUMPUR — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi jaminan akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan serta etika yang ditetapkan.
Kenyataan itu dibuat susulan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penganjuran majlis makan malam yang menghidangkan alkohol dan tular baru-baru ini.
MOTAC menegaskan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan mengambil iktibar sepenuhnya agar insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.
“MOTAC dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kementerian berkenaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas nasihat serta teguran membina terhadap usaha memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.
“MOTAC akan terus memperkukuh komunikasi serta memastikan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Anwar memberi amaran keras kepada MOTAC dan menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing selepas video tular menunjukkan penghidangan minuman beralkohol dalam majlis berkaitan Tourism Malaysia sempena Global Travel Meet (GTM) di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri menegaskan dasar kerajaan tidak membenarkan sebarang penghidangan minuman keras pada majlis rasmi kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








