[VIDEO] Isu tambak tanah kubur Bedong: Tiada kelulusan Pejabat Mufti, waris diminta pasang semula nisan
BEDONG – Isu penambakan tanah kubur di Tanah Perkuburan Islam Al-Khairiyah, Masjid Bedong, di sini, didapati belum mendapat kelulusan rasmi pihak berkuasa agama sekali gus mengesahkan bahawa sebarang kerja berkaitan tambakan atau pengubahsuaian kawasan perkuburan berkenaan tidak dibenarkan untuk diteruskan buat masa ini.
Perkara itu didedahkan oleh bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zamil Ibrahim selepas beliau hadir sendiri ke Kompleks Pejabat Agama Majlis Agama Islam Daerah Kuala Muda semalam, bagi mendapatkan penjelasan rasmi berhubung isu tersebut.
Menurut Zamil, pihak pengurusan masjid belum memperoleh kelulusan sewajarnya daripada Jabatan Mufti Negeri Kedah, malah pihak mufti juga belum melakukan lawatan tapak ke kawasan tanah perkuburan terbabit.
@malaysiatribune Bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zamil Ibrahim mendedahkan bahawa kerja-kerja meratakan permukaan kubur di Tanah Perkuburan Islam Al-Khairiyah, Bedong, Kedah tidak mendapat kelulusan daripada pihak pejabat agama negeri. #malaysiatribune #malaysiatribune #beritatiktok #beritasemasa #trendingnewsmalaysia #kubur #bedong
“Saya hadir sendiri ke pejabat agama dan telah mendapat penjelasan lengkap. Yang sebenarnya, kerja tambak kubur ini belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Mufti Negeri Kedah. Lawatan tapak oleh pihak mufti pun belum dibuat,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di TikTok.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat rasmi yang diterima, semua kerja penambakan perlu dihentikan serta-merta dan sekiranya ia diteruskan tanpa kelulusan, tindakan undang-undang berkemungkinan boleh diambil terhadap pihak terlibat.
“Kalau diteruskan juga, saya bimbang akan wujud tindakan saman terhadap pihak masjid atau Majlis Agama Islam Daerah Kuala Muda,” katanya.
Dalam pada itu, Zamil turut menasihatkan ahli kariah dan waris supaya tidak mencabut batu nisan di kawasan perkuburan tersebut, malah menggesa agar nisan yang telah dicabut dipasang semula, memandangkan proses kelulusan dan keputusan rasmi melibatkan banyak saluran serta dijangka mengambil masa panjang.
“Saya minta anak kariah, jangan cabut batu nisan. Yang dah cabut, digalakkan pasang balik. Proses ini akan panjang kerana melibatkan banyak saluran dan peringkat kelulusan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya pihak masjid dan anak kariah mengumpul dana bagi membeli tanah baharu untuk dijadikan kawasan perkuburan Islam yang baharu, tanpa mengganggu tanah perkuburan lama yang dianggap sebagai kawasan warisan komuniti.
“Tak perlu tambak tanah kubur lama yang menempatkan tok nenek dan ibu bapa kita.
“Saya nak cadangkan kepada anak kariah agar kita beri sumbangan supaya pihak masjid dapat membeli sebidang tanah baharu untuk mereka buat tanah perkuburan baharu di kawasan kita.
“Beli tanah yang berdekatan, kita buat tanah perkuburan baharu, yang lama kita kekalkan,” katanya.
Zamil memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan dua pegawai Majlis Agama Islam Daerah Kuala Muda, yang memberikan penjelasan terperinci berhubung kedudukan sebenar isu tersebut.
“Dah jelas iaitu ketika ini pihak masjid atau mana-mana tidak dibenarkan untuk membuat sebarang penambahbaikan atau apa-apa.
“Saya akan bertanggungjawab memastikan perkara ini (tanah kubur) kalau boleh akan berada kekal di situ untuk selama-lamanya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







