[VIDEO] Isu penambakan kubur di Bedong: Waris gesa campur tangan pihak berkuasa
BEDONG – Waris si mati yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Khairiyah, di sini, menyuarakan bantahan terhadap tindakan pihak pengurusan masjid yang didakwa meratakan permukaan kubur dipercayai bagi tujuan ‘guna semula’ kawasan perkuburan berkenaan.
Isu itu didedahkan oleh bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zamil Ibrahim menerusi satu hantaran video yang dimuat naik semalam selepas beliau meninjau sendiri lokasi tanah perkuburan tersebut.
Menurut Zamil, tindakan penambakan itu amat mengecewakan waris memandangkan kawasan berkenaan merupakan tanah perkuburan warisan yang menempatkan ramai ahli keluarga penduduk setempat, termasuk keluarganya sendiri.
@malaysiatribune Waris si mati yang dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam Al-Khairiyah, Bedong, Kedah membantah tindakan pihak masjid meratakan permukaan kubur dan menambak semula tanah dipercayai untuk tujuan ‘guna semula’ tanah kubur berkenaan. Perkara itu didedahkan oleh bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zamil Ibrahim melalui hantaran video semalam.#trendingnewsmalaysia #malaysiatribune #beritasemasa #beritatiktok #kubur zamilibrahim #tanahwakaf
“Hari ini (kelmarin) saya berada di Tanah Perkuburan Islam Al-Khairiyah, Bedong, kawasan kampung saya. Ramai keluarga saya dikebumikan di sini termasuk bapa saya.
“Saya rasa agak terkilan dan sedih. Hari ini pembongkaran atau maksudnya pihak masjid kariah Bedong ini nak tambak tanah bagi penuh,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat dua kawasan tanah perkuburan Islam di Bedong termasuk di Kampung Lebai Ali yang masih mampu menempatkan hampir 2,000 jenazah sekali gus mempersoalkan keperluan untuk melakukan penambakan di kawasan perkuburan lama.
“Saya telah berbincang dengan jawatankuasa masjid agar kerja-kerja ini ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga selepas Hari Raya.
“Ramai waris berada di luar negeri dan luar negara. Bayangkan mereka pulang beraya dan mendapati kubur ahli keluarga sudah hilang, hanya tinggal papan tanda di luar kawasan perkuburan,” katanya.
Zamil turut menggesa campur tangan kerajaan negeri Kedah dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) bagi menghentikan kerja-kerja berkenaan, selain mengelakkan kemarahan dan kegusaran masyarakat setempat.
“Ini tanah perkuburan di Kedah, takkan saya nak minta Perdana Menteri campur tangan,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang waris, Shelyza Sulaiman telah mengemukakan aduan rasmi dan permohonan campur tangan segera kepada Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berhubung tindakan mencabut nisan dan kepok serta isu penambakan tanah perkuburan berkenaan.
Dalam surat aduan itu, Shelyza memberitahu, pihaknya dimaklumkan mengenai perancangan penambakan pada 23 Januari 2026, namun keesokan harinya, pihak AJK Masjid Bedong didakwa telah mencabut batu nisan dan kepok di kawasan terlibat tanpa notis mencukupi.
“Tindakan ini menimbulkan keresahan dan rasa terkilan dalam kalangan waris, khususnya mereka yang tinggal di luar Kedah dan tidak dimaklumkan secara jelas,” katanya.
Menurut beliau, waris bimbang tindakan tersebut akan menjejaskan kedudukan kubur sedia ada, menyebabkan lokasi pusara tidak dapat dikenal pasti dan mencetuskan kegusaran masyarakat serta menyentuh soal adab dan kehormatan tanah perkuburan Islam.
Sehubungan itu, Shelyza memohon supaya semua kerja penambakan dihentikan serta-merta, siasatan dijalankan, dan sebarang tindakan lanjut hanya dibuat selepas perbincangan rasmi bersama waris serta mengikut tatacara, adab dan hukum syarak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

