BERITA SEMASA

LIMAS setuju roboh rumah ibadat dibina atas tanah kubur Islam di PJS 14 – MBPJ

PETALING JAYA – Operasi merobohkan rumah ibadat yang dibina secara haram di kawasan di sini dibuat selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS).

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, perobohan yang dilaksana itu turut melibatkan beberapa agensi termasuk pejabat tanah dan daerah.

“Sejurus binaan haram dikesan, kita akan hantar laporan kepada LIMAS sebelum sebarang tindakan diambil. Binaan kecil atau besar kita bawa kepada LIMAS supaya apabila tindakan diambil ia mengikut keputusan yang diputuskan jawatankuasa tersebut dan ia merupakan pendirian kerajaan negeri.

“Buat masa ini, kita memang ada mengesan rumah ibadat yang dibina atas tanah perkuburan Islam. Untuk ini, LIMAS telah putuskan untuk tindakan perobohan dan kita akan laksana bersama pejabat tanah dan daerah,” katanya nemetik laporan Media Selangor.

Dalam pada itu, beliau menegaskan supaya semua pihak perlu memberi kerjasama serta tidak membantah tindakan yang diputuskan.

Pada 20 Januari, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya menetapkan menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh akhir pengosongan Tanah Warta Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya, susulan pencerobohan yang tular di media sosial.

Beliau menegaskan tanah berkenaan bukan tanah wakaf seperti didakwa, sebaliknya tanah perkuburan Islam yang telah diwartakan dan berada di bawah bidang kuasa JAIS.

Menurutnya, tindakan pemutihan tapak telah pun dimulakan menerusi kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling Jaya, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi penguat kuasa berkaitan.

Beliau menegaskan, PDT Petaling Jaya bersama JAIS akan mengetuai operasi penguatkuasaan sekiranya arahan pengosongan tidak dipatuhi.

Tahun lalu, ketika sambutan Hari Deepavali, EXCO Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu mengingatkan mana-mana pihak berhenti membina kuil secara haram kerana kerajaan negeri sudah banyak meluluskan pembinaannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button