JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki ditemukan meninggal dunia dengan kesan kelar

IPOH – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dengan kesan kelar di leher di dalam sebuah kereta di kawasan parkir sebuah pusat membeli-belah dekat Station 18, di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, pihaknya menerima maklumat awam mengenai mangsa berusia 57 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dalam kenderaan tersebut kira-kira pukul 12.53 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Pasir Puteh bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian penumpang sebuah kereta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Abang Zainal Abidin, ahli keluarga memberitahu mangsa dipercayai mengalami kemurungan sejak enam bulan lalu akibat beberapa masalah kesihatan yang dihadapinya.

“Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPP) mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Pasir Puteh di talian 05-321 2222 atau Bilik Gerakan IPD Ipoh di 05-245 1500 bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button