BERITA SEMASA

Penekanan awal TVET dan STEM dalam RPN eratkan jurang kemahiran – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bakal diberi penekanan lebih menyeluruh apabila bidang itu dijadikan antara teras utama dalam Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 bagi memastikan negara mempunyai tenaga mahir yang mencukupi untuk menghadapi keperluan industri masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk mengangkat TVET sebagai laluan pendidikan arus perdana, selari dengan keperluan ekonomi berasaskan teknologi dan kemahiran tinggi.

Menurut beliau, usaha memperkenalkan elemen TVET serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak peringkat Tingkatan Satu bertujuan membina asas kemahiran teknikal lebih awal, selain memupuk minat pelajar terhadap bidang berkaitan teknologi.

Perkembangan itu turut disokong oleh peningkatan ketara kadar kebolehpasaran graduan TVET yang menunjukkan keberkesanan pendekatan berkenaan dalam memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa.

“Ini adalah satu lonjakan yang amat baik, ertinya TVET akan diarusperdanakan melalui RPN,” katanya ketika diminta mengulas pelancaran RPN oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Baca juga : Pelan Pendidikan Tinggi 2026–2035 dibangunkan sepenuhnya kepakaran tempatan – Zambry

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, RPN turut membawa perubahan besar terhadap sistem pendidikan negara apabila elemen ujian dan penilaian diperkenalkan semula secara berperingkat.

“Kerajaan memperlihatkan komitmen apabila di peringkat sekolah rendah, ujian itu dimulakan di peringkat Darjah Empat. Manakala untuk sekolah menengah, kita berterima kasih kerana ujian itu dimulakan di Tingkatan Tiga,” katanya.

Bagi sektor pendidikan tinggi pula, beliau berkata, penekanan diberikan untuk memastikan keselarasan antara bidang pengajian dan keperluan sebenar dunia pekerjaan, sekali gus mengurangkan isu ketidakpadanan graduan dengan pasaran buruh.

“Dari segi ini, kita lihat penarasan telah dilakukan dengan sebaik-baiknya dan tumpuan kepada soal bahasa dan sejarah turut diberikan penekanan, termasuk penekanan bagi pengambilan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk sekolah agama dan tahfiz.

“Saya yakin sistem ini juga melibatkan sekolah-sekolah pondok,” katanya.

RPN 2026–2035 diperkenalkan sebagai pelan reformasi pendidikan jangka panjang yang bertujuan membentuk generasi masa depan yang berdaya saing, inklusif dan berteraskan nilai.

Pelan berkenaan dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button