BERITA SEMASAPMX

PM umum peperiksaan Tahun 4 diperkenal mulai tahun ini

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan pelaksanaan ujian penilaian Tahun 4 di peringkat sekolah rendah mulai tahun ini bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, yang akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada pemulihan sistem matriks pembelajaran negara, dengan tujuan memberi penekanan awal terhadap penilaian akademik sebelum pelajar memasuki darjah enam.

“Mulai tahun 2026, kita akan kembalikan sistem matriks pembelajaran Malaysia iaitu sistem penilaian atau peperiksaan yang akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Darjah 4 sekolah rendah.

“Cikgu-cikgu ingat, tahun ini ada ujian Darjah 4 sekolah rendah. Mengapa nak tunggu darjah 6?” katanya ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Baca juga : Mulai tahun depan, prasekolah umur lima tahun, darjah satu enam tahun – PM

Beliau menjelaskan, lima subjek utama yang menjadi fokus sistem penilaian ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, dengan subjek Sejarah akan diperkenalkan di peringkat sekolah menengah bermula tahun 2027 untuk tingkatan tiga.

“2026 Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains mulai 2026. Saya tahu Kementerian Pendidikan mula nampak gelisah. Mengapa Perdana Menteri ni arah cepat sangat? Tapi kerana saya tahu Kementerian Pendidikan ni kementerian yang cekap dan fikir masa depan,” kata beliau.

Anwar menegaskan pendekatan ini memberi ruang kepada pelajar untuk memperbaiki prestasi mereka dalam tempoh dua tahun, iaitu dari darjah 4 hingga darjah 6, sebelum melangkah ke tingkatan satu.

“Maknanya kita buat penilaian dan kita tahu dua tahun, darjah 5, darjah 6 itu kita akan perbaiki dan letakkan anak-anak supaya berikan ruang mereka perbaiki dalam dua tahun sebelum masuk ke tingkatan satu. Itu kalau tanya mengapa diberikan notis yang begitu singkat? Ha itu salah Perdana Menteri,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button