KPT umum peruntukan Dapur Siswa meningkat kepada RM40 juta
PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju menambah peruntukan program Dapur Siswa sebanyak RM15 juta menjadikan keseluruhan peruntukan berjumlah RM40 juta bagi memastikan kebajikan mahasiswa di kampus terus terpelihara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tambahan peruntukan itu diumumkan oleh Perdana Menteri susulan keprihatinan kerajaan terhadap kos sara hidup dan keperluan asas pelajar institusi pengajian tinggi.
Menurut beliau, sebelum ini sebanyak RM25 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan Dapur Siswa, namun lebihan kewangan yang ada telah dimanfaatkan bagi menambah baik program berkenaan.
“Saya membangkitkan perkara ini kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas prinsip keprihatinan kerajaan Madani terhadap mahasiswa dan mahasiswi kita. Alhamdulillah, tambahan RM15 juta diluluskan tanpa berfikir panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Pendidikan Tinggi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Baca juga : Pelan Pendidikan Tinggi 2026–2035 dibangunkan sepenuhnya kepakaran tempatan – Zambry
Zambry berkata, program Dapur Siswa merupakan antara inisiatif penting kementeriannya bagi memastikan keperluan asas pelajar, khususnya dari golongan kurang berkemampuan, dapat dipenuhi secara berterusan.
Beliau berkata, keupayaan pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran dengan baik sangat bergantung kepada kebajikan asas seperti makanan, tempat tinggal dan kos sara hidup yang mencukupi.
Selain Dapur Siswa, beliau berkata, kementerian turut melaksanakan beberapa inisiatif kebajikan lain termasuk FlySiswa dan program bantuan sulung bagi membantu pelajar daripada keluarga miskin melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan politeknik.
Menurut beliau, prinsip utama kementerian ialah memastikan kemiskinan tidak dijadikan alasan atau penghalang kepada akses pendidikan tinggi dalam kalangan anak-anak negara.
“Keutamaan kita adalah memastikan pelajar dapat belajar dalam keadaan yang selesa, terjamin kebajikannya dan tidak tercicir hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








