LUAR NEGARA

AS gesa tentera Syria henti kemaraan di wilayah Kurdish

ALEPPO – Amerika Syarikat (AS) menggesa tentera Syria menghentikan kemaraan mereka ke wilayah utara Syria yang dikuasai kumpulan Kurdish susulan pertempuran dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) bagi menguasai kawasan strategik dan medan minyak di sepanjang Sungai Euphrates.

Menurut laporan Al Jazeera, tentera Syria dilaporkan mara dengan pantas semalam selepas SDF bersetuju berundur ke sebelah timur sungai berkenaan.

Bagaimanapun, pertempuran tercetus di Aleppo dan kawasan sekitarnya selepas usaha menggabungkan SDF ke dalam struktur ketenteraan negara Syria gagal dicapai.

Ketua Komando Pusat Tentera AS (CENTCOM), Brad Cooper, berkata tentera Syria perlu menghentikan sebarang tindakan ofensif di kawasan antara Aleppo dan Tabqa, kira-kira 160 kilometer ke timur di wilayah Raqqa.

Tentera Syria mendakwa sudah memasuki Tabqa, sebuah bandar penting berhampiran empangan dan pangkalan udara, namun SDF menafikan dakwaan itu dan menegaskan pihaknya masih menguasai kawasan berkenaan.

Ketegangan turut tercetus apabila tentera Syria mengambil alih Deir Hafer dan Maskana, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian pengunduran selepas satu serangan mengorbankan dua anggota tentera Syria.

Laporan menyebut tentera Syria kemudian mara ke kawasan luar bandar Raqqa, memasuki beberapa bandar dan kampung yang dikuasai Kurdish, selain mengenakan perintah berkurung ketika menghampiri Tabqa.

Wartawan Al Jazeera, Zein Basravi yang melaporkan dari Aleppo berkata, pengeboman masih berterusan di wilayah Raqqa dan keadaan di lapangan berubah dengan cepat.

“Dengan pergerakan senjata berat, artileri jarak jauh dan lori membawa peluru ke kawasan itu, situasi ini memang tegang. Pertempuran tertumpu kepada usaha menguasai medan minyak yang sebelum ini dikawal SDF,” katanya.

SDF pula menuduh kerajaan Syria mengkhianati perjanjian yang dipersetujui dan memaklumkan pertempuran sengit masih berterusan, termasuk serangan artileri dan roket. Mereka menegaskan Tabqa tidak termasuk dalam perjanjian pengunduran dan akan terus dipertahankan.

Dalam masa sama, AS berdepan cabaran untuk mengimbangi sokongan berterusan terhadap SDF dalam memerangi ISIL dengan sokongan kepada kerajaan baharu Syria, terutama berkaitan isu integrasi puluhan ribu pejuang SDF ke dalam Tentera Syria.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button