Ahli perniagaan rugi RM3 juta ditipu individu menyamar polis, timbalan pendakwa raya
KUALA TERENGGANU – Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian hampir RM3 juta selepas melakukan 55 transaksi dalam tempoh lima bulan sebelum menyedari dirinya diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dan Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, mangsa lelaki berusia 64 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Uptown Petaling Jaya sebelum talian disambungkan kepada suspek lain yang mendakwa sebagai Timbalan Pendakwa Raya.
Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan mengarahkan mangsa memastikan akaun bank miliknya mempunyai sejumlah RM2,707,965 bagi tujuan siasatan dan penyelesaian kes.
“Sepanjang tempoh lima bulan, bermula September tahun lalu hingga awal Januari tahun ini, mangsa dilarang membuat sebarang transaksi ke akaun lain kecuali ke nombor akaun yang diberikan suspek.
“Dalam tempoh itu, mangsa telah membuat 55 transaksi secara dalam talian dan deposit tunai ke lima akaun bank berbeza yang kononnya bertujuan membersihkan nama mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Khairi berkata, segala urusan dilakukan sepenuhnya melalui panggilan telefon dan mangsa turut diarahkan supaya tidak memeriksa atau menyemak penyata akaun banknya sepanjang tempoh berkenaan.
Jelasnya, mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu semalam.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap sebarang panggilan telefon mencurigakan, khususnya yang mendakwa mewakili pihak berkuasa atau agensi penguat kuasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan dakwaan yang dibuat melalui panggilan telefon dan membuat semakan terus dengan pihak berkuasa atau agensi berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












