STR kategori bujang bukti keprihatinan kerajaan terhadap belia
KUALA LUMPUR – Seramai 3.1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Kategori Bujang mula menerima bantuan menerusi mekanisme Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula hari ini, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam membantu golongan belia yang terkesan dengan cabaran ekonomi serta peningkatan kos sara hidup.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, bantuan tersebut memberi manfaat khususnya kepada golongan B40, miskin, miskin tegar serta kumpulan berpendapatan sederhana, terutama belia bujang yang sedang membina kerjaya dan kehidupan.
Menurut kementerian, STR Kategori Bujang merupakan antara inisiatif utama kerajaan bagi meringankan beban kewangan rakyat, selain memastikan golongan muda tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Bantuan ini amat bermakna kepada belia yang bekerja sendiri, berpendapatan rendah atau baru memulakan kerjaya, sekali gus membantu mereka memenuhi keperluan asas harian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KBS turut menasihatkan penerima STR agar menguruskan bantuan yang diterima secara berhemah dengan mengutamakan perbelanjaan keperluan asas, mengelakkan pembaziran serta memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran diri.
“Usaha memperkasa kebajikan serta pembangunan belia akan terus diperkukuh selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi melahirkan generasi muda yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampu menyumbang secara bermakna kepada kemajuan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








