BERITA SEMASA

Kerajaan berhak tarik balik bantuan jika pemohon kemuka maklumat tidak tepat

PUTRAJAYA – Kerajaan berhak menarik balik sebarang bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekiranya pemohon mengemukakan maklumat tidak tepat.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, setiap permohonan STR telah melalui pelbagai proses semakan dan verifikasi dengan agensi berkaitan bagi menyemak kelayakan pemohon.

Selain itu, semakan berkala turut diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak rekod pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara pemohon.

“Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil. Kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” kata kenyataan itu, hari ini.

MoF dalam kenyataan sama turut memaklumkan, peruntukan keseluruhan untuk STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini berjumlah RM15 bilion, menjadikannya jumlah peruntukan tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

Peruntukan berjumlah besar itu, katanya, susulan penyusunan semula pemberian STR dan SARA sebagai inisiatif Kerajaan MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat secara lebih berkesan.

SARA menyediakan bantuan asas berterusan kepada rakyat dengan 8 juta individu, termasuk 400,000 golongan miskin dan miskin tegar layak menerimanya secara bulanan.

STR pula diberi sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih.

“Pendekatan bersepadu ini memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberikan ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan,” menurut kenyataan itu.

MoF turut memaklumkan bahawa sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk STR Fasa Satu tahun ini, yang akan mula disalurkan Selasa depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button