Politik

Hamzah Zainudin sahkan akaun miliknya, isteri dibekukan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan akaun miliknya dan isteri telah dibekukan sejak semalam oleh pihak berwajib.

Ketua Pembangkang itu mendakwa, tindakan itu diambil kerana terdapat tekanan dan campur tangan pemimpin-pemimpin politik tertinggi dalam kerajaan.

“Pembekuan ini, yang kemudiannya disebarkan kepada media merupakan usaha terdesak kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk terus menekan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang semakin mendapat kepercayaan rakyat.

“Ia juga satu taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap PN terutamanya selepas sokongan majoriti rakyat beralih kepada PN yang memenangi 146 daripada 245 kerusi DUN baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Hamzah turut menyamakan tindakan pendakwaan politik itu seperti dengan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara diperalatkan bagi mencipta fitnah terhadap pemimpin PN.

“Tetapi akhirnya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan empat pertuduhan kerana cacat, tidak berasas,
kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

“Hakim juga memutuskan bahawa pendakwaan tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah. Saya pasti bahawa lebih banyak tindakan politik akan diambil ke atas saya dan pemimpin PN dalam masa terdekat, termasuk menggunakan pihak polis bagi menyiasat saya kerana mengkritik DAP dalam kempen pilihan raya negeri,” katanya.

Sementara itu, katanya, beliau juga telah menyerahkan surat tuntutan kepada SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kerajaan Malaysia.

“Peguam saya sedang menyediakan kertas-kertas tindakan untuk tujuan memulakan tindakan mahkamah
terhadap SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kerajaan Malaysia kerana mengheret nama saya dalam kes pendakwaan yang tiada kena mengena langsung dengan saya,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button