POLITIK

Ada usaha terancang tarik Bersatu rapat dengan PH – Hamzah

LARUT – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa terdapat usaha terancang untuk membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) lebih rapat dengan Pakatan Harapan (PH) susulan peletakan jawatan beramai-ramai dalam beberapa jawatankuasa penaja bahagian parti itu.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, kebanyakan individu yang terlibat dalam jawatankuasa penaja bahagian berkenaan didakwa mempunyai kaitan atau latar belakang dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh rakan-rakan parti dari seluruh negara selepas beberapa bahagian penaja Bersatu ditubuhkan.

“Saya dimaklumkan bahawa kebanyakan mereka datang daripada PKR dan saya melihat keadaan ini seolah-olah satu usaha terancang untuk membawa BERSATU lebih rapat dengan PH.

“Jika saya dipecat kerana bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagaimana pula dengan mereka yang secara terbuka menyatakan hasrat untuk bersama Anwar Ibrahim?” memetik NST online.

Hamzah berkata agenda “reset” yang dicadangkannya perlu dimulakan dengan muhasabah diri dalam kalangan penyokong serta kepimpinan yang sehaluan dengannya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan perjuangan politik yang dibawa dibina atas asas keikhlasan dan kekuatan dalaman.

“Sebab itu saya minta rakan-rakan, khususnya pada 10 malam terakhir Ramadan ini, bangun, memohon keampunan dan bermuhasabah supaya kita dapat memperbaiki diri terlebih dahulu,” katanya lagi.

Tambahnya, selepas proses penambahbaikan itu dilakukan, usaha menyusun semula kedudukan politik serta hala tuju perjuangan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button