BERITA SEMASA

100 patung maskot Wira dan Manja saiz sebenar serikan pelancaran TMM 2026 di Menara KL

KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur menjemput orang ramai untuk menikmati pengalaman panorama bandar yang luar biasa hujung minggu ini menerusi penganjuran program meriah dan mesra keluarga sempena kempen nasional Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Januari ini

Menurut LSH Service Master Sdn Bhd dalam satu kenyataan, sebagai sebahagian daripada pelancaran sambutan tersebut, Menara Kuala Lumpur akan bertukar menjadi hab perayaan dengan penganjuran program Meneroka Malaysia Bersama Wira dan Manja.

Katanya, program itu akan menampilkan pameran eksklusif 100 patung maskot bersaiz sebenar Wira dan Manja, iaitu maskot rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Wira dan Manja
Maskot Wira dan Manja sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

“Pameran unik ini akan dipamerkan di beberapa lokasi ikonik termasuk Tower Terrace, Observation Deck dan Sky Terrace, sekali gus menawarkan peluang fotografi menarik berlatar belakangkan pemandangan panoramik ibu kota.

“Pameran ini terdiri daripada 50 patung Wira dan 50 patung Manja yang diinspirasikan daripada Beruang Matahari Malaya, spesies asli yang dilindungi di Malaysia,” katanya hari ini

Selain pameran itu katanya, pengunjung turut berpeluang menyertai sesi pertemuan maskot bersejarah yang menyaksikan kemunculan sulung Wira dan Manja bersama maskot rasmi Menara Kuala Lumpur, Kay Elle dan Tawa.

“Sesi interaktif ini turut diserikan dengan edaran cenderamata, pemasangan belon gergasi serta gerbang acara khas di pintu masuk Menara Kuala Lumpur.

“Bagi menambahkan elemen warisan tempatan, setiap kemunculan maskot akan diiringi dengan persembahan Kompang Melayu secara langsung, membawa irama kebudayaan tradisional ke puncak kota,” katanya.

Sementara itu Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master, Khairil Faizal Othman, kolaborasi itu menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memposisikan Menara Kuala Lumpur sebagai platform berimpak tinggi bagi penceritaan pelancongan negara.

“Melalui pengalaman yang ringkas, menarik dan mesra keluarga, kami berbesar hati untuk menyumbang dalam memperkukuh mesej pelancongan Malaysia kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama beliau turut menjemput orang ramai untuk bersama-sama mengukuhkan peranan Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi utama dalam landskap pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Aktiviti ini berlangsung selama tiga hari sahaja dengan jadual kemunculan maskot pada jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, 2 petang hingga 3 petang dan 5 petang hingga 6 petang, manakala persembahan kompang akan diadakan bermula 4 petang hingga 7 petang pada Jumaat, serta 1 petang hingga 6 petang pada Sabtu dan Ahad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button