Tahun Baharu 2025: Selepas 3 dekad, pertunjukan bunga api kembali di Menara KL
KUALA LUMPUR – Selepas hampir tiga dekad, Menara Kuala Lumpur akan mempersembahkan semula pertunjukan bunga api ikonik sempena Sambutan Tahun Baru 2025-Quarter Century Celebration.
Menurut Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dalam satu kenyataan, buat pertama kalinya sejak perasmian pada tahun 1996, Menara Kuala Lumpur bakal diterangi dengan percikan warna-warni bunga api yang memukau, menjanjikan permulaan tahun baru yang penuh dengan memori indah.
“Pada 31 Disember ini Menara Kuala Lumpur menjemput para pengunjung untuk menyaksikan acara bersejarah ini yang akan menampilkan dua persembahan bunga api.
“Pertunjukan bunga api selama lima minit akan menghiasi bandaraya Kuala Lumpur dari Tower Terrace dan Aras TH07.
“Ia pasti akan menawarkan pemandangan yang luar biasa kepada para pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu katanya, turut diadakan ialah hiburan secara langsung oleh Sky Band sambil bersama-sama menghitung detik menuju tahun baru.
“Pintu masuk akan dibuka mulai jam 9 malam, lengkap dengan hidangan ringan dan pek parti untuk memeriahkan sambutan tahun baru anda,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazli Saad berkata, sambutan tahun baru kali ini menandakan detik bersejarah yang mengimbau semula asal-usul Menara Kuala Lumpur.
“Sejak tahun 1996, kami berdiri sebagai simbol pembangunan dan kemajuan
Kuala Lumpur. Selepas 28 tahun, kami sangat teruja untuk membawa kembali pertunjukan bunga api ini, kerana ia dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan pengunjung antarabangsa untuk meraikan malam Tahun Baharu dalam suasana yang ikonik,” katanya.
Sementara itu katanya, orang ramai boleh mendapatkan tiket berharga RM88 seorang untuk peluang eksklusif meraikan Tahun Baharu dari salah satu lokasi terbaik dan paling ikonik di Kuala Lumpur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








