Polis siasat unsur kecuaian kes dua kanak-kanak lemas di kolam kondominium
BAYAN LEPAS – Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sebarang unsur kecuaian atau salah laku mana-mana pihak susulan kejadian dua kanak-kanak yang dipercayai lemas di kolam renang sebuah kondominium di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tujuh tahun kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), dengan seorang daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, siasatan awal mendapati pengadu dihubungi oleh adik perempuannya yang memaklumkan dua kanak-kanak terbabit ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi kolam renang premis berkenaan.
“Kedua-dua mangsa pada awalnya dibawa ke sebuah hospital swasta di Bayan Baru untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dirujuk ke HPP bagi rawatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kejadian berlaku di kolam renang di tingkat 42 kondominium terbabit dan ketika itu tiada petugas bertugas di kawasan tersebut.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan adik perempuan pengadu membawa kedua-dua mangsa ke kolam renang pada jam 8.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakaman sama turut menunjukkan dua kanak-kanak itu berjalan dari kolam kanak-kanak ke kolam dewasa sebelum ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam.
Anuwal memaklumkan, keluarga mangsa datang dari Kedah untuk bercuti di Pulau Pinang dan telah menginap di kondominium berkenaan sejak dua hari lalu, sebelum dijangka pulang hari ini.
“Setakat ini, seorang mangsa sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan kritikal manakala seorang lagi menerima rawatan di wad kanak-kanak hospital berkenaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak, terutama ketika berada di kawasan kolam renang, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Terdahulu, media melaporkan seorang daripada kanak-kanak terbabit berada dalam keadaan stabil, manakala sepupunya ditempatkan di ICU selepas kejadian yang berlaku ketika mereka bercuti bersama keluarga di Pulau Pinang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






