Suspek rempuh kereta penuntut UNISZA disahkan pesakit mental
KUALA TERENGGANU – Siasatan awal terhadap kemalangan yang mengorbankan pelajar UNISZA, Syakirah Hanan Mazli, 25, di Jalan Kemajuan, di sini semalam mendapati, pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat merupakan seorang pesakit mental.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek berusia 32 tahun itu menghidap Major Depression Disoder (MDD) dan telah menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini sejak Januari tahun lalu.
“Suspek yang mengalami patah tangan kanan dan luka kecil di badan sedang dirawat di wad HSNZ,” katanya, hari ini.
Semakan turut mendapati kereta Honda Jazz yang digunakan dalam kemalangan itu milik adik suspek.
Sebelum kemalangan, suspek yang bekerja sendiri itu turut disyaki memecah masuk sebuah kereta Honda City yang diletakkan berhampiran Wisma Darul Iman.
“Dia disyaki mengambil dompet yang terdapat di dalam kereta Honda City berkenaan sebelum melarikan diri dengan kereta Honda Jazz diletak berhampiran.
“Kereta itu seterusnya dipecut laju sebelum terlibat dalam kemalangan dengan kereta Perodua Viva (yang dipandu Syakirah Hanan) di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan,” katanya lagi.
Tambahnya, lelaki itu akan ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







