Maritim Malaysia tahan dua bot nelayan Indonesia tangkap ikan tanpa permit
TANJONG KARANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, menahan sekumpulan nelayan Indonesia yang leka menangkap ikan di perairan Tanjong Karang, semalam.
Nelayan terbabit tidak sempat melarikan diri apabila ditahan di kedudukan sekitar 17.9 dan 18.2 batu nautika barat daya Tanjong Karang pada pukul 2.30 dan 3.30 petang.
Menurut Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, pihaknya berjaya mengesan dua bot yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda.
“Pemeriksaan awal mendapati vesel pertama dikendalikan seorang tekong dan dua awak-awak, manakala vesel kedua dinaiki seorang tekong dan tiga awak-awak.
“Kesemua mereka berusia 36 hingga 53 tahun dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah serta meragukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, kedua-dua vesel terbabit juga melanggar syarat sah lesen kerana menggunakan mata pukat yang kurang daripada 38 milimeter (mm) untuk melakukan penangkapan ikan.
Baca juga : Maritim Malaysia gagalkan cubaan warga asing masuk Labuan guna vesel nelayan
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran.
“Semua mereka dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut. Pihak Maritim turut merampas hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan seberat 150 kilogram,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








