JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia gagalkan cubaan warga asing masuk Labuan guna vesel nelayan

LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan berjaya menggagalkan cubaan dua wanita warga Filipina memasuki perairan negara menggunakan sebuah vesel nelayan dalam operasi yang dijalankan awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata, tindakan itu hasil maklumat risikan dan pemantauan berterusan menerusi Operasi Sejahtera 1/2022 dan Operasi Tiris 3.0.

“Keadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi apabila bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah vesel nelayan yang mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua wanita warga Filipina berada di atas vesel berkenaan dengan dokumen pengenalan diri yang diragui kesahihannya, manakala nakhoda bot merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial IMM13,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

“Nakhoda bersama dua penumpang wanita termasuk dokumen pengenalan diri dan vesel nelayan terbabit telah ditahan sebelum diiring ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat,” katanya lagi.

Kapten Izwanhadi turut berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang maritim negara dan akan terus memperkukuh rondaan di perairan Labuan.

“Maritim Malaysia komited memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman termasuk aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 untuk tindakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button