AGAMABERITA SEMASA

Pemergian Syakirah Hanan sentuh hati Ustazah Asma’ Harun, Allahyarhamah disifatkan pergi di jalan ilmu dan amal soleh

KUALA LUMPUR – Pemergian pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Allahyarhamah Syakirah Hanan Mazli yang maut dalam kemalangan jalan raya semalam turut mengundang rasa pilu dan keinsafan dalam kalangan pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau meluahkan rasa tersentuh dengan ketenangan luar biasa yang dipamerkan oleh bapa Allahyarhamah, sekali gus menggambarkan Syakirah Hanan sebagai seorang anak yang baik, lahir daripada keluarga yang baik serta menerima didikan yang baik.

Ustazah Asma’ menyifatkan pemergian Allahyarham dalam keadaan husnul khatimah.

Menurut Ustazah Asma’, ujian yang dilalui oleh bapa Allahyarhamah amat berat apabila beliau sendiri menyaksikan jasad yang terbujur di atas jalan, tanpa menyedari bahawa itulah anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan doa sejak kecil.

“Allahu Akbar… beratnya ujian ini. Seorang anak yang sedang membina masa depan, bijak dan tersenarai sebagai graduan cemerlang ketika pengajian di peringkat ijazah,” tulisnya di Facebook.

Ustazah Asma’ turut menzahirkan rasa terkesan apabila melihat keadaan jasad Allahyarhamah yang masih lengkap berpakaian menutup aurat dengan sempurna ketika dikeluarkan, meskipun kenderaan dinaiki mangsa dilaporkan remuk teruk akibat kemalangan.

“Keadaan ini sangat menggetarkan hati dan mengundang air mata,” katanya, sambil mengaitkan peristiwa tersebut dengan tanda-tanda husnul khatimah seperti yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW, antaranya apabila seseorang itu diwafatkan dalam keadaan beramal soleh.

Ustazah Asma’ turut mengingatkan hadis riwayat al-Tirmizi yang menyatakan bahawa Allah SWT akan memberikan taufik kepada hamba-Nya untuk melakukan amal soleh sebelum kematian apabila Dia menginginkan kebaikan terhadap hamba tersebut.

Allahyarhamah Syakirah Hanan merupakan graduan Universiti Al Azhar, Mesir.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Syakirah Hanan merupakan pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPLI) Semester Dua di UniSZA dan sedang menuntut ilmu bagi mempersiapkan diri menjadi seorang pendidik.

“Dia pergi bukan dalam kelalaian, tetapi dalam keadaan menuntut ilmu, satu jalan yang penuh keberkatan dan kemuliaan di sisi Allah,” katanya.

Ustazah Asma’ turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sehingga pulang, selain jaminan kemudahan menuju syurga bagi mereka yang menempuh jalan ilmu.

Beliau menyifatkan pemergian Syakirah Hanan sebagai satu pemergian yang penuh erti kerana meninggalkan dunia dalam keadaan menjaga aurat, di jalan ilmu serta dengan niat yang suci.

Sehubungan itu, beliau mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa Allahyarhamah, melapangkan kuburnya, menerima setiap langkahnya sebagai ibadah serta menghimpunkannya bersama orang-orang beriman dan beramal soleh.

Beliau turut mendoakan agar ibu bapa serta seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dikurniakan kekuatan, kesabaran dan reda dalam menghadapi kehilangan besar tersebut.

“Mari bersama-sama kita mendoakan agar Allahyarhamah Syakirah Hanan dan seluruh umat Islam yang telah kembali kepada Yang Maha Pencipta mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button