BERITA SEMASAPMX

Anwar ucap tahniah, bangga kejayaan PPUM pindah hati bayi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada kejayaam pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melaksanakan pemindahan hati kepada bayi berusia empat bulan.

Perdana Menteri berkata, kejayaan itu mencerminkan tahap kepakaran, profesionalisme serta dedikasi tinggi warga kesihatan negara, khususnya dalam menangani prosedur yang amat kompleks dan berisiko tinggi.

“Tahniah kepada pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas kejayaan bersejarah melaksanakan pemindahan hati kepada bayi berusia empat bulan seberat 6.2 kilogram,” katanya dalam kenyataan di X.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bayi itu mengalami kegagalan hati dan memerlukan pemindahan organ secara segera daripada ibunya pada 25 November lalu.

Bagaimanapun, beberapa minit sebelum prosedur bermula, jantung bayi tersebut terhenti secara tiba-tiba sehingga mencetuskan suasana cemas di Unit Rawatan Rapi Pediatrik PPUM.

“Pasukan perubatan bertungkus-lumus melakukan resusitasi. Satu jam yang penuh debaran. Nyawa anak kecil ini benar-benar di hujung tanduk.

“Di sinilah kehebatan sebenar pasukan perubatan kita teruji. Bukan sahaja mereka berjaya menstabilkan kembali bayi itu, malah dengan penilaian klinikal yang tajam dan berani, mereka membuat keputusan berat iaitu untuk meneruskan pembedahan,” katanya.

Menurut Dzulkefly, meskipun prosedur berkenaan berisiko tinggi serta rumit memandangkan pembuluh darah bayi tersebut sangat halus, kepakaran pakar bedah, pakar bius dan jururawat di PPUM membolehkan pembedahan pemindahan hati itu berjaya dilaksanakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button