Jenayah & Mahkamah

Pegawai kerajaan negeri dan isteri ditahan SPRM kes salah guna kuasa

KUALA TERENGGANU – Seorang penolong pegawai tadbir kanan sebuah jabatan kerajaan negeri di sini dan isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa.

Menurut sumber, suspek disyaki menyalahgunakan jawatan dengan memberi kira-kira 70 perolehan pembaikan kenderaan bernilai hampir RM130,000 kepada syarikat milik isterinya.

“Suspek juga dikatakan turut mengesyorkan kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel yang dimiliki sebuah koperasi yang mana suspek adalah ahli lembaga koperasi dan merangkap setiausaha jawatankuasa perdagangan di koperasi berkenaan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Katanya, kes berkenaan dipercayai berlaku sejak 2021 hingga tahun lalu dan dua suspek yang berusia 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu kira-kira pukul 11 pagi tadi.

“Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi proses permohonan reman,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suami isteri terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button