Lima ditahan dalam serbuan rumah dijadikan mini kasino
KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga asing selepas menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan mini kasino dalam operasi membanteras kegiatan perjudian haram di Jalan Sentul Pasar, di sini.
Serbuan menerusi Op Dadu itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Gengsterisme (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 12.30 tengah malam kelmarin.
Menurut polis, kegiatan yang dijalankan di premis berkenaan dipercayai melibatkan permainan poker.
Tangkapan membabitkan lima lelaki berusia antara 23 hingga 42 tahun, termasuk seorang warga Kanada.
“Seorang daripada suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penganjur dan pemain yang menetap di rumah berkenaan.
“Selain itu, turut ditahan tiga lelaki warga tempatan dan seorang warga Kanada yang dipercayai pemain,” kata kenyataan itu.
Dalam operasi itu, pasukan polis turut merampas peralatan perjudian seperti cip yang digunakan sebagai wang, daun terup serta alas meja poker.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen Malaysia 1959/63.
“Semua suspek ditahan reman hingga 3 Januari 2026 bagi membantu siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








