Pengurusan pasar Ramadan perlu lebih telus, berintegriti – Anwar
PETALING JAYA – Pengurusan pasar Ramadan perlu dilaksanakan secara lebih telus dan berintegriti bagi memastikan peluang berniaga benar-benar sampai kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, beliau mencadangkan agar pendaftaran peniaga pasar Ramadan khususnya di Petaling Jaya dibuat sepenuhnya secara dalam talian bagi mengelakkan penglibatan orang tengah dan ejen yang mengenakan komisen tidak wajar.
Menurut Anwar, pasar Ramadan seharusnya menjadi ruang untuk rakyat di peringkat akar umbi menambah pendapatan sepanjang bulan Ramadan, bukannya untuk dimanipulasi pihak tertentu demi keuntungan peribadi.
“Ini masalah kita, masalah bantuan. Ini sepatutnya menjadi kesempatan kepada rakyat di peringkat bawah untuk menjalankan perniagaan dan mencari nafkah tambahan.
“Jadi, ahli-ahli bandaraya sepatutnya memberi kerjasama supaya proses lebih teratur dan mengelakkan amalan angkat komisen,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Taman Dato’ Harun, di sini hari ini.
Anwar berkata, berdasarkan kertas cadangan serta pengalaman pelaksanaan di Petaling Jaya, pendaftaran secara dalam talian perlu dibuka seluas mungkin bagi memastikan peluang yang adil kepada peniaga kecil tanpa diskriminasi.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan meningkatkan tahap kebersihan dan penyediaan kemudahan asas di Pasar Ramadan, termasuk bekalan air dan pengurusan sisa pepejal.
“Kalau pihak bandaraya dan kerajaan negeri bekerjasama, saya akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya membantu menambah baik kemudahan Pasar Ramadan, khususnya dari segi kebersihan dan kawalan persekitaran,” katanya.
Menurut beliau, sebarang tindakan pembuangan sampah secara tidak teratur tidak akan dikompromi dengan tindakan termasuk pemberian nasihat serta penguatkuasaan denda akan dikenakan terhadap pihak yang ingkar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








