BERITA SEMASA

Insiden Super Lynx TLDM: Dua anggota masih dirawat

MELAKA – Dua daripada empat kru helikopter Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang, malam tadi masih ditempatkan di Hospital Melaka, termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, dua lagi kru yang menerima rawatan awal sudah dibenarkan keluar selepas disahkan stabil.

Beliau berkata, pegawai dirawat di ICU, Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz, yang berperanan sebagai Pegawai Taktikal Udara (TACCO), mengalami komplikasi pada paru-paru akibat insiden yang berlaku di perairan.

Sementara Kuarter Master Udara, Bintara Kanan Mohammad Zullfika Mohiddi yang cedera pada pinggang kanan dan betis kanan ditempatkan di zon kuning Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Walaupun kedua-duanya dilaporkan stabil, pemantauan rapi perlu diteruskan khususnya membabitkan insiden yang berlaku di perairan.

“Dua lagi kru yang sudah dibenarkan keluar hospital ialah Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani dan Leftenan Mohammad Faiz Razali, masing-masing berperanan sebagai juruterbang dan pembantu TACCO,” katanya ketika menziarahi empat kru berkenaan di hospital, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.

Adly berkata, Kementerian Pertahanan sedang berusaha mendapatkan kerjasama antara Hospital Melaka dan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut di Perak bagi memindahkan mangsa yang dirawat di Zon Kuning ke hospital berkenaan sekiranya keadaan mengizinkan.

Bagi pegawai yang ditempatkan di ICU pula, beliau berkata pemantauan berterusan diperlukan bagi memastikan tahap kesihatan mangsa benar-benar stabil.

Mengenai siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, Adly berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat semua aspek termasuk teknikal, operasi dan logistik, selain memastikan tahap keselamatan aset serta anggota sentiasa terpelihara.

Tambah beliau, operasi menyelamat dan membawa keluar bangkai helikopter yang terlibat sedang dilaksanakan, dengan bantuan logistik sebelum aset berkenaan dibawa ke Lumut bagi penilaian teknikal lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button