BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

HASiL laksana e-Invois Fasa 4, sistem e-Duti Setem bermula 1 Januari 2026

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan dua inisiatif utama akan dilaksanakan mulai 1 Januari ini, iaitu pelaksanaan e-Invois Fasa 4 dan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) Fasa 1.

Menurut HASiL, pelaksanaan e-Invois Fasa 4 yang melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta itu merupakan pemangkin utama kepada Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

“Inisiatif itu membantu meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh pengurusan rekod perniagaan yang lebih teratur serta memudahkan pematuhan cukai secara telus dan sistematik.

“Malah setakat ini, lebih 843 juta e-Invois telah direkodkan melibatkan 113,800 pembayar cukai di seluruh negara,” kata HASiL dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, HASiL turut merakamkan penghargaan, khususnya kepada lebih 48,800 perniagaan daripada kalangan pembayar cukai Fasa 4 yang telah melaksanakan e-Invois secara sukarela sebagai persediaan awal sebelum pelaksanaan mandatori.

Menurut HASiL lagi, bagi memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada pembayar cukai yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM1 juta.

Pengecualian itu bertujuan memberi ruang dan masa kepada perniagaan untuk memperkukuh kedudukan ekonomi masing-masing sebelum beralih sepenuhnya ke era pendigitalan.

Bagaimanapun, HASiL terus menggalakkan semua pembayar cukai meneroka manfaat penggunaan e-Invois sebagai langkah meningkatkan daya saing perniagaan dan melaksanakannya secara sukarela.

“HASiL menyediakan Portal MyInvois yang boleh diakses dan digunakan secara percuma oleh semua perniagaan bagi tujuan penghantaran e-Invois,” katanya.

Selain itu, ketersediaan MyInvois e-POS, iaitu platform digital Point-of-Sale (POS) oleh HASiL, membantu perniagaan mengurangkan kos operasi termasuk kos langganan perisian komersial, kos cetakan serta penyimpanan dokumen fizikal.

Sebagai galakan, perniagaan yang mendaftar dan menggunakan MyInvois e-POS bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026 layak menerima pencetak resit secara percuma daripada HASiL.

Sementara itu, pelaksanaan STSDS secara berfasa menandakan era baharu pengurusan duti setem, selaras usaha meningkatkan kecekapan serta menggalakkan pematuhan secara sukarela.

Seiring pelaksanaan tersebut, Sistem STAMPS sedia ada akan ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember 2025 dan semua urusan penyeteman akan dimigrasikan ke Sistem e-Duti Setem bermula 1 Januari ini.

HASiL menambah, berdasarkan rekod pendaftaran portal MyTax, masih terdapat pengguna Sistem STAMPS yang belum memiliki Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau Sijil Digital, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat mengakses portal berkenaan.

Bagi memastikan kelancaran peralihan tanpa menjejaskan urusan penyeteman, pengguna STAMPS sedia ada diberi pilihan mengakses Sistem e-Duti Setem melalui pautan stamps.hasil.gov.my/stamps/ sehingga 30 Jun 2026 bagi semua kategori surat cara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button