Tiga sebar video nahas diambil keterangan
GOMBAK – Tiga individu telah diambil keterangan berhubung penyebaran rakaman video mangsa nahas pesawat Beechcraft 390 Premier 1 di Persiaran Elmina, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga individu berkenaan telah tampil memberi keterangan secara sukarela di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
“Setakat ini ada tiga yang terlibat tularkan video, mungkin ada lagi, kita tengok macam mana.
“Yang datang selepas ini kalau ada lagi kita ambil tindakan,” katanya ketika menziarahi pengebumian salah seorang mangsa nahas iaitu Adun Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Panglima 4 Div Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Anuar Abdul Wahab.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, mengesahkan tiga pemilik video kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ yang berada di lokasi nahas terbabit tampil memberi keterangan.
Ayob berkata, pihak polis mengalu-alukan saksi untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan nahas berkenaan namun orang ramai tidak dibenarkan menyebar video di media sosial.
Tindakan itu katanya boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada orang ramai supaya menghentikan penyebaran video berkenaan.
“Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengeluarkan amaran ini. Sekarang ini polis memberi amaran supaya tidak ada lagi yang menularkan kandungan video itu,” katanya.