ARMADA diminta henti penafian, PAS dakwa BERSATU punca retaknya PN
SHAH ALAM – Pemuda PAS Selangor menyelar Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU supaya tidak terus berada dalam sindrom penafian berhubung krisis dalaman Perikatan Nasional (PN), khususnya selepas kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya amat kecewa dengan kenyataan Ketua Penerangan ARMADA BERSATU, Harris Idaham Rashid, yang didakwa menafikan punca sebenar krisis besar PN dan “membutakan mata” terhadap pengkhianatan yang berlaku dalam gabungan itu.
Menurutnya, sikap ARMADA BERSATU yang enggan mengakui masalah sebenar hanya memburukkan keadaan dan diibaratkan “mencurahkan garam ke atas luka yang sedang membarah”.
“ARMADA BERSATU sepatutnya menerima hakikat bahawa BERSATU telah melanggar garis merah dalam persahabatan PN.
“Pucuk pimpinan BERSATU perlu segera mengakui kesilapan dan mengambil tindakan secara terhormat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberi amaran bahawa penafian terbuka terhadap apa yang disifatkan sebagai pengkhianatan itu hanya akan mengundang kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan pendukung PAS di seluruh negara, sekali gus meretakkan lagi hubungan antara kedua-dua parti.
Muhammad Faizzuddin turut menegaskan ARMADA BERSATU tidak boleh berpura-pura naif terhadap krisis dalaman PN, sambil mendakwa BERSATU telah menjadi “bidak catur” kepada pihak tertentu sehingga mencetuskan ketidakstabilan dalam gabungan tersebut.
“Tiada makna hubungan antara ARMADA dan Pemuda PAS sekiranya ARMADA meredhai pengkhianatan yang dilakukan terhadap rakan sendiri,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan keupayaan ARMADA untuk berpegang kepada prinsip dan keadilan sekiranya pengkhianatan dalaman ketika menjadi pembangkang pun sanggup diketepikan, apatah lagi jika PN berada dalam kerajaan kelak.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya PAS Pusat mengambil alih kepimpinan PN demi menyelamatkan perjuangan gabungan tersebut di peringkat nasional.
“BERSATU telah hilang maruah dan prinsip. Mereka telah mengkhianati rakan dan sedang membawa PN ke arah kehancuran,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















